KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuh kebebasan institusi Parlimen memasuki fasa baharu menerusi pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, yang disifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai langkah penting dalam menunaikan janji reformasi Kerajaan MADANI kepada rakyat.
Menurut Anwar, pelaksanaan akta tersebut bukan sekadar perubahan pentadbiran, malah menjadi antara tonggak agenda reformasi negara dengan mengehadkan kuasa yang sebelum ini berada di bawah kerajaan, khususnya Ketua Majlis.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peralihan Pentadbiran dan Reformasi Institusi Parlimen Malaysia di Bangunan Parlimen, Rabu.
Mengimbas sejarah, Anwar menjelaskan bahawa usaha memperkukuh kebebasan institusi Parlimen telah bermula sejak pengenalan undang-undang berkaitan pada era 1960-an, sebelum dimansuhkan pada tahun 1992.
Justeru, pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen dilihat oleh Perdana Menteri sebagai usaha meneruskan pematangan sistem Demokrasi Berparlimen di Malaysia.
Dalam masa sama, Anwar berharap bidang kuasa dan kebebasan baharu yang diberikan kepada Parlimen dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan profesionalisme warga institusi itu, selain memperbaiki mutu serta adab perbahasan.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan reformasi tersebut memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk wakil kerajaan dan pembangkang, dengan setiap kebebasan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Sementara itu, Dewan Rakyat meluluskan usul pelantikan empat Ahli Parlimen untuk menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen, membabitkan dua wakil kerajaan dan dua wakil pembangkang.
Mereka terdiri daripada Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).
Usul yang dibentangkan Perdana Menteri itu diluluskan menerusi undian suara tanpa perbahasan.
Pelaksanaan akta berkenaan sekali gus menandakan perkembangan penting dalam agenda pembaharuan institusi negara, dengan tumpuan terhadap kebebasan Parlimen, profesionalisme pentadbiran serta pengukuhan amalan demokrasi.
















Leave a Reply