KUALA LUMPUR – Kerajaan bertekad mengambil tindakan tegas terhadap dalang dan sindiket penyeludupan warga asing, termasuk mana-mana pihak yang melindungi atau bersubahat dengan kegiatan tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keselamatan anggota penguat kuasa dan kedaulatan negara tidak boleh dikompromi, susulan kematian seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika menjalankan tugas.
Beliau menegaskan seluruh pasukan penguatkuasaan perlu bertindak tegas terhadap sebarang cubaan menceroboh sempadan negara serta memastikan pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.
Kenyataan itu dibuat susulan pemergian Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, yang terkorban ketika menjalankan operasi menghalang kemasukan pendatang tanpa izin di perairan Sungai Padang, Perlis.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, bot peronda APMM dipercayai terlanggar tembok pesisir pantai ketika mengejar sebuah bot yang disyaki membawa sembilan pendatang tanpa izin warga Myanmar.
Insiden tersebut mengorbankan Mohd Roshaimi, manakala tiga lagi anggota APMM dilaporkan cedera selepas dipercayai tercampak daripada bot berkenaan.
Anwar bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta seluruh warga APMM atas kehilangan anggota yang terkorban ketika mempertahankan keselamatan perairan negara.













Leave a Reply