Kerajaan teliti pelaksanaan AFA berperingkat mulai 2027 – Fadillah

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti cadangan pelaksanaan mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) secara berperingkat mulai 2027 bagi memastikan perlindungan bil elektrik lebih adil dan bersasar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penelitian itu dilaksanakan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama Suruhanjaya Tenaga (ST).

Menurut beliau, langkah tersebut bertujuan melindungi pengguna mengikut kategori masing-masing susulan ketidaktentuan harga bahan api di pasaran global.

Fadillah menjelaskan, kenaikan bil elektrik sebahagian pengguna berpunca daripada peningkatan harga gas dan arang batu akibat konflik geopolitik di Asia Barat, selain cuaca panas berpanjangan yang meningkatkan penggunaan elektrik.

Bagi meringankan beban rakyat, kerajaan telah menaikkan had pengecualian penggunaan elektrik domestik daripada 600 kepada 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan bagi tempoh September hingga Disember 2026.

Pengecualian itu turut merangkumi surcaj AFA, caj peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), yang dijangka memanfaatkan kira-kira lapan juta akaun pengguna domestik, bersamaan 90 peratus pengguna di Semenanjung Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut mengutamakan pemberian geran kepada negeri yang mencatat kadar air tidak berhasil (NRW) tinggi bagi menggantikan paip lama secara berperingkat.

Fadillah berkata, pendekatan itu mengambil kira kekangan kewangan kerajaan di samping memastikan kecekapan sistem bekalan air negara terus dipertingkat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *