KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Sebanyak 71.8 peratus hospital utama di seluruh negara berjaya mencatatkan purata tempoh menunggu katil kurang daripada lapan jam bagi kemasukan pesakit ke wad dari Jabatan Kecemasan setakat Jun 2026.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pencapaian itu melibatkan 28 daripada 39 hospital negeri dan hospital pakar utama, berbanding 55.26 peratus pada 2025.
Beliau turut memaklumkan bahawa 94 daripada 103 hospital pakar minor dan hospital tanpa pakar mencatatkan purata tempoh menunggu katil kurang daripada empat jam.
Bagi menangani kesesakan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan beberapa inisiatif termasuk Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP), yang melibatkan 14 perkhidmatan sejak 2024 dan memberi manfaat kepada lebih 50,000 pesakit di 75 hospital KKM.
Selain itu, KKM memperkukuh pengurusan katil, rawatan harian dan pendekatan hospital kluster. Kementerian turut meneroka konsep cottage hospital serta penempatan pesakit yang telah stabil ke hospital daerah bagi mengurangkan beban hospital utama tanpa menjejaskan penjagaan pesakit.














Leave a Reply