Amanah Dakwa Parti Kancil Berpotensi Pecahkan Undi PH Jika Bertanding Sendirian

KUALA LUMPUR: Penyertaan Parti Bersama Malaysia (Bersama) dalam pilihan raya tanpa menjalinkan kerjasama dengan mana-mana gabungan politik berpotensi menjejaskan perolehan undi parti lain, khususnya Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Abbas Azmi berkata, keadaan itu mungkin berlaku sekiranya parti yang dikaitkan dengan Datuk Seri Rafizi Ramli hanya memperoleh sebahagian kecil undi tanpa berjaya memenangi kerusi yang ditandingi.

Menurut beliau, matlamat utama sesebuah parti menyertai pilihan raya seharusnya untuk memperoleh kemenangan dan membentuk kerajaan, bukannya sekadar bertanding secara bersendirian.

Abbas berkata, pengalaman politik negara menunjukkan kerjasama antara parti menjadi antara faktor penting dalam usaha membentuk kerajaan, terutama dalam sistem pilihan raya yang menyaksikan persaingan beberapa gabungan.

Beliau bagaimanapun mengakui setiap parti mempunyai hak untuk bertanding berdasarkan prinsip demokrasi. Namun, katanya, keputusan untuk bergerak secara solo perlu disertai strategi yang jelas dan realistik.

Dalam konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, beliau berpandangan parti yang bertanding perlu mempertimbangkan kesan penyertaan masing-masing terhadap pembahagian undi.

Abbas turut mengingatkan bahawa pertandingan tanpa kerjasama politik berpotensi memecahkan sokongan pengundi dan menyukarkan usaha sesebuah gabungan mencapai kemenangan.

Kenyataan itu dibuat ketika perbincangan mengenai peranan Parti Bersama Malaysia pimpinan Rafizi Ramli dalam landskap politik negara semakin mendapat perhatian, khususnya menjelang pilihan raya akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *