KUALA LUMPUR – Kajian berkaitan cadangan pewujudan Akta Pengurangan Risiko Bencana dijangka selesai dalam tempoh 12 bulan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pengurusan bencana di Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kajian yang dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu akan menjadi asas kepada penelitian lanjut mengenai keperluan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Bencana Negara.
Menurut beliau, hasil kajian serta syor yang dikemukakan akan disemak dan diselaraskan bersama kementerian serta agensi berkaitan sebelum cadangan dasar dan perundangan dimuktamadkan.
Bagaimanapun, tarikh khusus untuk RUU berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat masih belum ditetapkan kerana kerajaan sedang meneliti keperluan serta bentuk kerangka perundangan yang paling sesuai.
Ahmad Zahid berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan undang-undang yang dicadangkan benar-benar memenuhi keperluan negara, selain mengenal pasti kelemahan atau jurang dalam kerangka pengurusan bencana sedia ada.
Antara aspek yang diberi perhatian termasuk kesiapsiagaan berasaskan sains, data dan teknologi, tindakan awal, sistem amaran awal serta penyelarasan arahan dan tindak balas ketika bencana berlaku.
Kajian tersebut diharap dapat membantu menentukan hala tuju pengukuhan tadbir urus bencana negara, khususnya dalam aspek pencegahan, pengurangan risiko dan meningkatkan daya tahan masyarakat menghadapi bencana.











Leave a Reply