Diskaun Tol 50% Deepavali 2026 Selama Dua Hari

Diskaun tol 50 peratus selama dua hari sempena Deepavali 2026 di lebuh raya Malaysia.

Diskaun Tol 50 Peratus Selama Dua Hari Sempena Deepavali, Kerajaan Tanggung RM20.11 Juta

Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena sambutan Deepavali 2026 bagi membantu meringankan kos perjalanan pengguna lebuh raya.

Diskaun berkenaan akan bermula pada 12 tengah malam, 6 November (Jumaat) hingga 11.59 malam, 7 November (Sabtu).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif itu membabitkan anggaran peruntukan sebanyak RM20.11 juta bagi membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya.

Menurut beliau, keseluruhan kos pampasan akan ditanggung kerajaan, tertakluk kepada pengesahan data trafik sebenar sepanjang tempoh pelaksanaan diskaun tersebut.

Inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada pengguna yang merancang perjalanan pulang ke kampung halaman atau mengunjungi keluarga sempena perayaan Deepavali.

Kenderaan Kelas 1 Layak Terima Diskaun

Menurut Alexander, pemberian diskaun 50 peratus itu melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol seluruh negara.

foto/FMT

Selain itu, kenderaan Kelas 2 yang menggunakan Jambatan Pulau Pinang turut menikmati kemudahan berkenaan.

Bagaimanapun, terdapat dua plaza tol yang dikecualikan daripada pelaksanaan diskaun tersebut.

Kedua-duanya ialah Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (TTK) di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Kedua-dua plaza berkenaan terletak di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura.

Pengguna Diminta Rancang Perjalanan

Dalam perkembangan sama, Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menyelaras pelaksanaan inisiatif itu bersama syarikat konsesi lebuh raya.

Pengguna turut dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan, khususnya ketika waktu puncak musim perayaan.

Mereka juga diminta memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

Selain itu, pemandu diingatkan supaya mematuhi had laju, mengekalkan jarak selamat antara kenderaan dan mendapatkan rehat secukupnya bagi mengelakkan keletihan ketika memandu.

Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik dan perkembangan semasa menerusi saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan berita nasional dan informasi semasa menerusi MADANI NOW.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *