KUANTAN – Kadar tambang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diumumkan baru-baru ini disifatkan berpatutan dan mampu ditanggung golongan berpendapatan rendah, termasuk kumpulan B40.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penetapan tambang berdasarkan mekanisme harga dinamik itu tidak jauh berbeza daripada tambang bas, sekali gus menjadikan ECRL sebagai pilihan pengangkutan yang mampu dinikmati pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut beliau, kadar tambang yang ditawarkan juga lebih rendah berbanding kos perjalanan menggunakan kapal terbang.
Wan Rosdy berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi sempena Tamat Kursus Pelatih Akademi Rel Pahang (ARP) Program PLKI-ECRL Sesi 2025/26 di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan bahawa maklum balas masyarakat di media sosial terhadap pengumuman tambang ECRL secara umumnya positif, walaupun terdapat segelintir pihak yang mempunyai pandangan berbeza.
Mengulas kemungkinan pemberian diskaun khas kepada anak Pahang, Wan Rosdy berkata perkara tersebut perlu dibincangkan bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) kerana keputusan berkenaan berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Pahang bersedia meneruskan pembiayaan latihan teknikal kepada anak negeri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan untuk operasi ECRL.
Usaha itu juga selaras dengan cadangan kerajaan negeri untuk memperluas perkhidmatan ECRL ke Rompin dan Lipis.
Menurut beliau, kumpulan pertama seramai 47 pelatih yang mengikuti latihan selama setahun di China telah berjaya menamatkan pengajian dan ditawarkan pekerjaan oleh MRL.
Program latihan tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama kerajaan negeri, MRL, University College of Yayasan Pahang (UCYP) dan Yayasan Pahang bagi memastikan tenaga kerja tempatan bersedia sebelum ECRL memulakan operasi.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak mengumumkan tambang kelas ekonomi bagi perjalanan ECRL dari Gombak ke Kota Bharu sejauh 523 kilometer bermula RM125 sehala untuk perkhidmatan transit dan RM147 bagi ekspres.
Bagi laluan Gombak ke Kuala Terengganu, tambang transit bermula RM95 manakala ekspres RM110. Sementara itu, perjalanan Gombak ke KotaSAS menawarkan tambang bermula RM60 bagi transit dan RM68 bagi ekspres.
MRL turut mengumumkan diskaun sebanyak 50 peratus kepada kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) serta pesara kerajaan.
Pelajar berumur 13 hingga 24 tahun pula layak menikmati potongan tambang sebanyak 40 peratus.
Pelaksanaan tambang dinamik itu membolehkan harga tiket berubah mengikut waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk, dengan kadar yang diumumkan merupakan harga permulaan dan bukannya tambang tetap.














Leave a Reply