GOMBAK – Tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu, Kelantan ditawarkan bermula RM125 sehala bagi kelas ekonomi, manakala perkhidmatan ekspres bermula RM147.
Bagi laluan Gombak ke Kuala Terengganu pula, tambang permulaan ditetapkan RM95 bagi perkhidmatan transit dan RM110 bagi perkhidmatan ekspres.
Sementara itu, perjalanan dari Gombak ke KotaSAS, Kuantan, Pahang ditawarkan pada harga bermula RM60 bagi transit dan RM68 bagi ekspres.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, struktur tambang berkenaan diluluskan Jemaah Menteri pada 16 Oktober lalu menerusi mekanisme tambang dinamik.
Menerusi sistem itu, harga tiket boleh berubah mengikut waktu perjalanan, tahap permintaan dan ketersediaan tempat duduk. Penumpang yang membuat perancangan awal berpeluang mendapatkan tiket pada harga lebih rendah, bergantung pada ketersediaan.
Perkhidmatan ECRL turut menawarkan dua pilihan perjalanan, iaitu transit yang berhenti di setiap stesen yang ditetapkan dan ekspres yang hanya berhenti di empat stesen utama, melibatkan Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.
Bagi perjalanan Gombak ke Kota Bharu, perkhidmatan ekspres dijangka mengambil masa sekitar empat jam, berbanding sehingga lima jam bagi transit.
Dalam pada itu, kerajaan turut meluluskan diskaun tambang sebanyak 50 peratus untuk kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesara kerajaan.
Pelajar berusia 13 hingga 24 tahun pula layak menikmati diskaun sebanyak 40 peratus.
Penjualan tiket rasmi ECRL dijadualkan bermula pada pertengahan November ini, manakala operasi komersial bagi laluan Gombak-Kota Bharu disasarkan bermula pada pertengahan Disember 2026, tertakluk kepada keperluan keselamatan dan kelulusan berkaitan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai tambang dan jadual perjalanan menerusi laman sesawang rasmi ECRL di www.ecrl.com.my.













Leave a Reply