Sultan Selangor Tegaskan Teguran Demi Kebajikan Rakyat, Bukan Campur Tangan Kerajaan

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa teguran dan pandangan yang disuarakan baginda berkaitan pentadbiran negeri bukan bertujuan mencampuri urusan kerajaan, sebaliknya bagi memastikan kepentingan serta kebajikan rakyat terus diberikan keutamaan.

Baginda bertitah, teguran berkenaan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai tanda perselisihan atau pertelingkahan antara institusi diraja dengan kerajaan negeri.

Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab baginda untuk memastikan pentadbiran Selangor sentiasa mengambil kira kesejahteraan rakyat dan hala tuju masa depan negeri.

Baginda turut melahirkan rasa dukacita apabila titah diraja disalah tafsir oleh segelintir pihak, termasuk ahli politik, seolah-olah baginda mahu mengambil alih urusan pentadbiran kerajaan atau melaksanakan pemerintahan secara mutlak.

Gambar : Selangor Royal Office

Sultan Sharafuddin pada masa sama menegaskan bahawa baginda memahami batas kuasa dan tanggungjawab sebagai pemerintah di bawah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Baginda juga menghormati peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 serta Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kedudukan dan bidang kuasa Sultan.

Dalam titah berkenaan, baginda mengingatkan bahawa kejayaan sesebuah negeri tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah pelaburan, pembangunan pesat atau pencapaian ekonomi semata-mata.

Menurut baginda, kemajuan sebenar perlu turut diukur melalui kemampuan rakyat menikmati hasil pembangunan, khususnya golongan miskin dan mereka yang memerlukan bantuan.

Antara perkara yang perlu diberikan perhatian termasuk akses kepada pendidikan berkualiti, peluang memiliki rumah pada harga berpatutan, peluang pekerjaan yang mencukupi serta persekitaran hidup yang bersih dan sihat.

Baginda turut berpesan agar kerajaan negeri terus berusaha meningkatkan kemajuan Selangor tanpa mengetepikan nilai agama, adab dan kemanusiaan.

Selain itu, Sultan Sharafuddin menyeru rakyat supaya mengekalkan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, di samping saling menghormati perbezaan pandangan.

Baginda mengingatkan bahawa kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab dan adab agar tidak menjejaskan hubungan antara masyarakat.

Titah itu disampaikan pada Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor, selain Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan baginda di Istana Alam Shah, Klang, pada 25 Oktober 2026.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *