RUU Entiti Milik Kerajaan perkukuh tadbir urus, cegah salah guna kuasa – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan bagi memperketat tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi berkaitan bagi mengelakkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu bertujuan memastikan semua entiti milik kerajaan, termasuk syarikat subsidiari, tertakluk kepada peraturan dan mekanisme kawal selia yang lebih jelas serta berkesan.

Menurut beliau, pengalaman lalu membabitkan institusi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Felda dan Tabung Haji menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh pengawasan serta akauntabiliti.

Anwar menegaskan individu yang diberi tanggungjawab mengurus entiti kerajaan perlu menjalankan amanah secara profesional dan tidak menganggap institusi berkenaan sebagai milik peribadi atau keluarga.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan melarang campur tangan tokoh politik dalam menentukan projek dan keutamaan pelaburan GLC serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Sebaliknya, keputusan pelaburan perlu dibuat oleh badan yang dianggotai golongan profesional dan individu berkelayakan bagi memastikan pengurusan dana serta aset negara dilaksanakan secara telus dan berhemah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *