KUDAT – Peruntukan RM18.7 bilion yang disalurkan kepada Sabah menerusi Belanjawan 2027 bukan hanya untuk projek pembangunan, sebaliknya turut meliputi kos pengurusan kementerian dan jabatan Kerajaan Persekutuan yang beroperasi di negeri itu.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sebahagian besar peruntukan berkenaan digunakan bagi menampung perbelanjaan mengurus, termasuk pembayaran gaji kira-kira 120,000 penjawat awam Persekutuan yang bertugas di Sabah.
Menurut beliau, Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan merupakan antara penerima peruntukan pengurusan terbesar, dengan kedua-dua sektor itu menggunakan lebih separuh daripada jumlah keseluruhan RM18.7 bilion.
Masidi menjelaskan bahawa tidak tepat untuk menganggap keseluruhan peruntukan tersebut boleh digunakan bagi menyelesaikan masalah bekalan air serta pelbagai keperluan pembangunan lain di Sabah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sela-sela Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 2026 di Kudat, Ahad.
Dalam masa sama, peruntukan pembangunan turut merangkumi pembiayaan projek baharu dan kesinambungan projek sedia ada yang masih dilaksanakan, sekali gus bermakna bukan semua dana berkenaan merupakan peruntukan pembangunan baharu.
Masidi turut menegaskan bahawa keperluan pembangunan Sabah semakin meningkat setiap tahun, manakala peruntukan sedia ada tidak semestinya mencukupi untuk menyelesaikan semua masalah infrastruktur yang telah berlarutan sekian lama.












Leave a Reply