KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyaluKrkan sebanyak RM154 juta bagi kerja penyelenggaraan, pembaikan dan naik taraf tandas awam di seluruh negara sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan yang disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu membolehkan sebanyak 1,529 tandas awam dinaik taraf demi meningkatkan keselesaan dan kebersihan kemudahan untuk kegunaan rakyat.
Menurut beliau, kerajaan akan meneruskan inisiatif berkenaan dengan menyediakan peruntukan khas RM30 juta setiap tahun bermula 2026 hingga 2030, menjadikan keseluruhan RM150 juta bagi tempoh lima tahun akan datang.
Dalam perkembangan sama, kerjasama KPKT dengan Kementerian Pendidikan turut menyaksikan sebanyak 11,835 tandas sekolah di seluruh negara berjaya dinaik taraf, sekali gus meningkatkan kemudahan asas untuk kegunaan murid dan warga sekolah.
Nga menegaskan bahawa penyediaan tandas awam yang bersih, menawan dan wangi (BMW) bukan sekadar memenuhi keperluan harian masyarakat, malah mencerminkan imej serta tahap kebersihan sesebuah negara.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Tandas Terbaik Malaysia 2026 (TOTYA’26) di Kuala Lumpur, Selasa malam.
Menurutnya, Malaysia dijangka menerima 47 juta pelancong asing pada tahun ini, menjadikan penyediaan tandas awam yang bersih dan selesa antara aspek penting dalam menyokong industri pelancongan negara.
Sementara itu, penyertaan TOTYA’26 turut menunjukkan peningkatan ketara apabila sebanyak 849 penyertaan diterima tahun ini berbanding 345 pada tahun pertama penganjurannya.
Pertandingan yang memasuki edisi keempat itu mempertandingkan lapan kategori, termasuk sekolah, rumah ibadat, pusat beli-belah, restoran, hotel dan kawasan rehat dan rawat (R&R). KPKT turut merancang memperkenalkan kategori institusi pengajian tinggi pada tahun hadapan bagi memperluas budaya penjagaan kebersihan tandas.












Leave a Reply