‘Ratu Balqis’, dua rakan subahat dipenjara 12 bulan, denda RM5,000

JOHOR BAHRU – Seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Ratu Balqis’ bersama dua individu lain dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru atas kesalahan berkaitan penyebaran ajaran sesat.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tertuduh pertama mengaku bersalah mengikut Seksyen 4 berkaitan doktrin palsu dan Seksyen 6(b) berkaitan dakwaan palsu.

Sementara itu, dua lagi individu disabitkan atas kesalahan bersubahat mengikut Seksyen 43(b) dan 43(c) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) 1997.

Menurut beliau, kes tersebut melibatkan penyebaran doktrin dan dakwaan palsu berkaitan kedudukan Rasulullah SAW serta pelaksanaan ibadah yang boleh mengelirukan masyarakat.

Sehubungan itu, pihak berkuasa agama Johor akan terus memperkukuh usaha dakwah, pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan akidah.

Terdahulu, wanita berkenaan turut dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen pada Ogos lalu atas dua pertuduhan membuat hantaran palsu dan jelik melampau di media sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *