MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa prestasi ekonomi negara yang positif perlu diterjemahkan kepada penyelesaian masalah rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup.
Menurut beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu memastikan pertumbuhan ekonomi turut memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sentuhan MADANI dan Peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) di Stadium Hang Jebat, Krubong, pada Sabtu.
Anwar turut memuji usaha KPDN menerusi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) yang membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah, termasuk di kawasan bandar dan luar bandar.
Sementara itu, NCLAP30 yang dilancarkan merupakan pelan tindakan lima tahun bagi menangani cabaran kos sara hidup secara menyeluruh.
Pelan tersebut merangkumi 35 strategi dan 429 ikhtiar dengan dua misi utama, iaitu meningkatkan pendapatan rakyat serta menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan asas.
Sebanyak lapan kluster strategik dikenal pasti termasuk pendapatan, makanan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, perumahan, utiliti dan umum.
Pelaksanaan pelan berkenaan melibatkan kerjasama pelbagai kementerian, agensi serta rakan strategik bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat dirasai oleh rakyat.












Leave a Reply