CYBERJAYA – Penjawat awam yang melanggar arahan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze ketika menjalankan tugas rasmi boleh dikenakan tindakan tatatertib, tegas Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketua Pengarah MKN, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata, arahan yang berkuat kuasa serta-merta itu akan dipantau oleh ketua jabatan di setiap kementerian dan agensi kerajaan.
Menurut beliau, sebarang ketidakpatuhan terhadap arahan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, boleh membawa implikasi disiplin kepada penjawat awam terlibat.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat mengenai isu keselamatan negara di Cyberjaya pada Khamis.
Raja Nushirwan turut menggesa warga perkhidmatan awam menghentikan penggunaan Waze bagi mengurangkan risiko data lokasi dan pergerakan dieksploitasi oleh pihak luar.
Larangan tersebut dilaksanakan susulan keputusan kerajaan untuk memperkukuh perlindungan maklumat sensitif dan keselamatan data peribadi, khususnya yang melibatkan urusan rasmi kerajaan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kerajaan tidak bercadang mengenakan larangan menyeluruh terhadap penggunaan Waze dalam kalangan orang awam buat masa ini.
Sebaliknya, pendekatan berfasa melalui pendidikan dan kesedaran awam akan dilaksanakan bagi membantu masyarakat memahami risiko keselamatan data sebelum membuat pilihan sendiri.
Menurut beliau, kerajaan perlu mengimbangi keperluan keselamatan negara dengan hak rakyat untuk memilih aplikasi yang ingin digunakan.
Raja Nushirwan turut menjelaskan bahawa tindakan mengharamkan aplikasi berkenaan secara tergesa-gesa berpotensi memberikan kesan negatif terhadap ekosistem pembangunan aplikasi dan sektor teknologi maklumat dan komunikasi negara.
Sehubungan itu, keberkesanan pendekatan semasa akan dinilai dari semasa ke semasa sebelum kerajaan mempertimbangkan sebarang langkah tambahan.
Dalam perkembangan sama, beliau menggalakkan rakyat Malaysia beralih kepada aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan larangan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam susulan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat kerajaan dan data pergerakan pengguna.
Keputusan tersebut mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.
Kerajaan menegaskan bahawa perlindungan maklumat sensitif dan kedaulatan data negara perlu diberi keutamaan dalam menghadapi risiko keselamatan digital.














Leave a Reply