KUALA LUMPUR – Jepun berhasrat memperluas kerjasama pendidikan dua hala dengan Malaysia bagi membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda kedua-dua negara dalam bidang pengajian, penyelidikan dan inovasi.
Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki berkata, usaha itu akan diperkukuh berteraskan Dasar Pandang Ke Timur yang menjadi asas penting hubungan Malaysia-Jepun sejak lebih empat dekad lalu.
Menurut beliau, pendekatan baharu itu memberi penekanan kepada pertukaran pendidikan secara timbal balik, sekali gus membolehkan pelajar dan penyelidik kedua-dua negara berkongsi pengetahuan serta kepakaran.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Anugerah Penghargaan Menteri Luar Jepun 2026 kepada Presiden Persatuan Alumni Dasar Pandang Ke Timur (ALEPS), Isrami Ismail, pada Selasa.
Shikata turut menyuarakan harapan agar lebih banyak program pertukaran pendidikan dan kebudayaan dapat dilaksanakan menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun pada 2027.
Dalam masa sama, beliau menghargai peranan ALEPS dalam menggalakkan rakyat Malaysia melanjutkan pengajian di Jepun melalui pelbagai program pendidikan, pertandingan pidato bahasa Jepun dan aktiviti kebudayaan.
Sementara itu, Isrami berkata, Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan pada 1982 telah membantu melahirkan ribuan rakyat Malaysia dalam pelbagai bidang profesional, termasuk kejuruteraan, akademik dan keusahawanan.
Beliau menegaskan bahawa ilmu, disiplin dan nilai positif yang diperoleh melalui pengalaman di Jepun perlu terus dimanfaatkan bagi memperkukuh hubungan persahabatan serta pembangunan generasi akan datang.












Leave a Reply