Pelaburan lebih RM65 bilion dalam projek rel, kerajaan mahu perkasa industri tempatan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem dan rantaian bekalan industri rel tempatan bagi memastikan pelaburan besar kerajaan dalam sektor tersebut turut memberi manfaat kepada ekonomi negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pembangunan industri rel bukan sekadar tertumpu kepada pembinaan landasan dan penyediaan perkhidmatan kereta api, sebaliknya turut membuka peluang kepada syarikat tempatan dalam sektor pembuatan komponen, pemasangan dan penyelenggaraan.

Menurut beliau, kerajaan mahu memastikan pembelian tren daripada syarikat luar turut melibatkan aktiviti pemasangan dalam negara supaya lebih banyak komponen dapat dibekalkan oleh pemain industri tempatan.

Beliau berkata, kerjasama dengan China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) yang mempunyai kemudahan di Batu Gajah, Perak merupakan antara usaha menggalakkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan industri rel.

Loke berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dan dokumen perjanjian sempena Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Rabu.

Antara projek utama yang melibatkan pelaburan besar ialah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai lebih RM50 bilion, Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru kira-kira RM10 bilion serta Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 melebihi RM5 bilion.

Menurutnya, pelaburan tersebut diharap dapat menjadi pemangkin pertumbuhan syarikat tempatan, termasuk perusahaan yang menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal kepada sektor rel.

Dalam masa sama, beliau menggalakkan kerjasama lebih erat antara pemain industri dengan universiti tempatan bagi memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain mengkomersialkan hasil penyelidikan berkaitan teknologi pengangkutan.

Sebanyak 17 MoU dan dokumen perjanjian dimeterai sempena TXA 2026, sekali gus membuka ruang kerjasama strategik antara agensi kerajaan, industri tempatan, institusi pendidikan dan rakan antarabangsa.

Loke berharap kerjasama tersebut dapat meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan negara, memperluas penggunaan teknologi serta membangunkan industri rel tempatan yang lebih berdaya saing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *