Najib Selesai Bayar Denda RM50 Juta Kes SRC International

Datuk Seri Najib Razak selesai menjelaskan denda RM50 juta bagi kes penyelewengan dana SRC International.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selesai menjelaskan denda RM50 juta dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd hari ini.

Pembayaran itu dibuat di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pegawai khas Najib, Ahmad Lutfi Azhar hadir sekitar jam 11.30 pagi bagi menguruskan pembayaran dan melengkapkan prosedur pentadbiran.

Bayaran memenuhi syarat pengampunan bersyarat

Pembayaran denda itu merupakan salah satu syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.

Menerusi keputusan tersebut, Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, kelonggaran itu tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan.

UMNO sahkan dana bayaran mencukupi

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan semua urusan pembayaran telah diselesaikan.

Menurut beliau, Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu berjaya mencapai sasaran kutipan.

Justeru, UMNO mengumumkan penutupan akaun khas tabung berkenaan.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan sumbangan yang berjaya dikumpulkan tidak didedahkan.

Najib jalani hukuman sejak Ogos 2022

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kes SRC International.

Kes itu membabitkan penyelewengan dana berjumlah RM42 juta.

Pada asalnya, beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan pada Januari 2024 memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.

Pembayaran denda pada hari ini memenuhi salah satu syarat pengampunan bersyarat yang diberikan kepadanya.

Sumber: MalaysiaGazette / Bernama, 6 November

Ikuti perkembangan terkini dalam dan luar negara menerusi MADANI NOW.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *