Najib kekal di Penjara Kajang selagi denda RM50 juta belum dibayar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus menjalani hukuman di Penjara Kajang sehingga denda RM50 juta yang ditetapkan di bawah pengampunan bersyarat dibayar kepada mahkamah.

Perkara itu dimaklumkan firma guaman yang mewakili bekas Perdana Menteri berkenaan, Tetuan Shafee & Co, dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut firma itu, pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim, memberi ruang kepada Najib untuk menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Bagaimanapun, sehingga denda berkenaan dibayar, Najib kekal berada di Penjara Kajang.

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak kekal berada di Penjara Kajang sehingga denda RM50 juta dibayar kepada mahkamah, menurut firma guaman yang mewakili beliau, Tetuan Shafee & Co. – Gambar fail

Peguamnya turut memaklumkan bahawa Najib bersama pasukan guaman kini sedang meneliti syarat pengampunan tersebut termasuk implikasi pelaksanaannya.

Dalam pada itu, firma berkenaan menjelaskan urusan pembayaran denda RM50 juta berdepan kekangan susulan sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah milik Najib masih tertakluk kepada perintah pembekuan serta tindakan penguatkuasaan kerajaan.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian daripada keupayaan Najib untuk memenuhi syarat pembayaran bergantung kepada perkara yang berada di luar kawalannya.

Najib kini sedang mendapatkan nasihat serta mempertimbangkan pilihan yang ada bagi memenuhi syarat tersebut.

Dalam kenyataan sama, Najib menzahirkan penghargaan kepada Sultan Ibrahim atas perkenan pengampunan bersyarat berkenaan serta kepada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional serta rakyat Malaysia yang menawarkan bantuan bagi memenuhi syarat ditetapkan.

Bagaimanapun, Najib meminta supaya tiada pihak berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan bagi pihaknya.

Beliau pada masa sama memohon agar privasi keluarganya dihormati.

Pasukan peguam Najib memaklumkan tiada ulasan lanjut akan diberikan buat masa ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *