KUALA LUMPUR – Perundingan dan dialog telah lama menjadi sebahagian daripada pendekatan diplomasi Malaysia. Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata kesediaan Malaysia menerima lawatan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, tidak bermaksud negara mengiktiraf atau bersetuju dengan kekejaman yang berlaku di Myanmar.
Beliau berkata kritikan terhadap sebarang hubungan dengan kepimpinan Myanmar wajar diberi perhatian, dan penderitaan rakyat negara itu tidak boleh diketepikan. Kamil mengulas kritikan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, menerusi hantaran beliau di Facebook.
Sebagai contoh, Kamil merujuk kepada Rundingan Baling pada 1955, apabila Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, bertemu pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng. Menurutnya, pertemuan itu bukan pengiktirafan terhadap PKM, sebaliknya usaha mencari jalan menghentikan keganasan dan menyelamatkan nyawa.
Beliau turut mengimbas lawatan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, ke Beijing pada 1974. Dalam lawatan tersebut, Tun Abdul Razak bertemu Mao Zedong dan Zhou Enlai ketika ancaman komunis masih berlaku di dalam negara. Kunjungan tersebut kemudian membuka jalan kepada hubungan diplomatik Malaysia-China.
Malaysia juga pernah menjadi fasilitator rundingan antara Kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), selain terlibat dalam proses damai di Selatan Thailand, katanya.
Kamil berkata, penerimaan kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, juga tidak bermaksud Malaysia mengiktiraf dasar dan pendirian Amerika Syarikat mengenai perang di Iraq dan Afghanistan, atau sokongannya terhadap Israel dalam konflik di Gaza. Menurutnya, ruang rundingan dibuka kerana konflik sukar diselesaikan apabila saluran komunikasi ditutup.
Dalam konteks Myanmar, beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk wakil National Unity Government (NUG), ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.
Kamil berkata pendekatan itu bertujuan untuk berhubung dengan pihak berkaitan bagi mencari jalan keluar daripada sesuatu krisis. Beliau menambah bahawa gambaran “membentangkan permaidani merah” tidak merangkumi kerumitan sebenar diplomasi.
Menurutnya, antara perkara yang perlu diperjuangkan di meja rundingan ialah penghentian keganasan, akses kepada bantuan kemanusiaan dan dialog politik yang inklusif. Dalam hubungan dua hala semasa, Malaysia juga perlu memastikan sebarang penghantaran pulang warga Myanmar dilaksanakan secara sukarela, bermaruah dan selamat.
Kamil berkata, Malaysia tetap boleh mengutuk kekejaman sambil meneruskan dialog dengan pihak yang berupaya menghentikannya. Baginya, diplomasi memerlukan keberanian untuk berunding dengan pihak yang berbeza pendirian demi menjaga keamanan, keselamatan serantau dan nyawa manusia.
Sumber : BERNAMA












Leave a Reply