Mesyuarat EXCO negeri bincang ekonomi jingga dijangka hujung November – Fahmi

KUALA LUMPUR – Mesyuarat melibatkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bagi membincangkan perkembangan ekonomi jingga dijangka berlangsung pada minggu ketiga atau selewat-lewatnya hujung November 2026.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat jawatankuasa kerja yang dicadangkan itu akan melibatkan wakil kerajaan negeri bagi meneliti potensi pembangunan ekonomi kreatif di negeri masing-masing.

Menurut beliau, perbincangan tersebut akan memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti lokasi penggambaran filem, produk kraf tangan, kumpulan kebudayaan serta pasukan animasi yang berpotensi diketengahkan dan diberikan sokongan.

Fahmi memaklumkan, cadangan penubuhan jawatankuasa berkenaan telah dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri baru-baru ini.

Beliau berkata, pandangan dan cadangan daripada kerajaan negeri amat diperlukan bagi memastikan pembangunan ekonomi kreatif dapat dilaksanakan berdasarkan kelebihan serta potensi setiap negeri.

Dalam pada itu, kerajaan memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan maklum balas daripada kerajaan negeri sebelum Majlis Ekonomi Jingga (MEJ) mengadakan mesyuarat susulan.

Fahmi menjangkakan MEJ yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan bermesyuarat semula pada suku pertama 2027.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sumbangan Deepavali Parlimen Lembah Pantai di IWK Eco Park@Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Pada majlis sama, Fahmi turut menyampaikan baucar bernilai RM150 kepada kira-kira 600 keluarga bagi membantu persiapan sambutan Deepavali dan meringankan kos sara hidup.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *