KUALA LUMPUR – Seramai 30 individu termasuk seorang warga tempatan ditahan dalam operasi bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) bagi membanteras sindiket persundalan rentas sempadan yang dipercayai menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi dikenali sebagai Ops Noda-Rentas Sempadan itu dilaksanakan secara serentak di beberapa premis kediaman sekitar Kuala Lumpur dan Johor pada Selasa.
Menurut beliau, serbuan awal berjaya menahan sembilan individu berusia antara 29 hingga 56 tahun, terdiri daripada seorang rakyat Malaysia, tujuh warga China dan seorang warga Singapura.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket sama dan dikehendaki pihak berkuasa Singapura. Seorang warga Singapura serta empat warga China yang ditahan turut didapati tinggal melebihi tempoh dibenarkan di Malaysia.
Dalam operasi sama, polis turut menahan 21 warga asing terdiri daripada lima lelaki dan 16 wanita berusia antara 19 hingga 41 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mempromosi serta mengurus perkhidmatan persundalan secara dalam talian.
Kumpulan berkenaan terdiri daripada 17 warga China, tiga warga Vietnam dan seorang warga Laos. Polis turut merampas pelbagai peranti elektronik yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan tersebut.
Kumar menjelaskan bahawa sindiket berkenaan dipercayai aktif di Singapura sejak 2024, namun menggunakan Malaysia sebagai pangkalan untuk mengendalikan dua laman sesawang yang menawarkan perkhidmatan persundalan kepada pelanggan di republik itu.
Menurut beliau, sembilan suspek yang dikehendaki Singapura akan diserahkan kepada pihak berkuasa republik berkenaan selepas proses pengesahan identiti di hadapan Majistret selesai dilaksanakan.
Sementara itu, 21 individu lain direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan serta peruntukan berkaitan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan operasi tersebut membuktikan keberkesanan kerjasama risikan antara Malaysia dan Singapura dalam membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan, selain menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.














Leave a Reply