Mahasiswa UM Jadi Mangsa Buli Siber, Fahmi Tegas Perbezaan Pandangan Bukan Alasan Untuk Mengugut

KUALA LUMPUR – Hanya kerana menyuarakan pandangan dalam sebuah forum, seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) menjadi sasaran kecaman dan ugutan di media sosial, sekali gus mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Fahmi mengecam tindakan terhadap Ummi Umairah Bakhit, termasuk ancaman untuk mencarinya di universiti, yang disifatkan sebagai tidak beradab dan tidak wajar berlaku hanya kerana perbezaan pendapat.

Menurut beliau, mahasiswa mempunyai hak untuk bersuara selagi tidak melanggar undang-undang, malah pandangan yang disampaikan perlu dinilai berdasarkan isu yang diketengahkan.

Kontroversi tercetus selepas Ummi Umairah mempersoalkan tindakan orang ramai mengumpul derma bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membayar denda mahkamah berjumlah RM50 juta dalam sebuah forum terbuka bersama pemimpin UMNO.

Kenyataan itu kemudiannya mengundang pelbagai reaksi di media sosial, termasuk komen berbaur ugutan terhadap mahasiswa berkenaan.

Mangsa Buli Siber Digesa Segera Buat Laporan

Fahmi menggesa semua mangsa buli siber supaya segera membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Beliau berkata, MCMC akan meneliti tindakan yang boleh diambil berhubung kes tersebut dan bertindak secara proaktif tanpa hanya bergantung kepada laporan mangsa.

Fahmi turut mengingatkan pengguna media sosial supaya menjaga adab ketika berkomunikasi kerana setiap hantaran dalam talian boleh membawa implikasi, termasuk yang dibuat menggunakan akaun palsu.

Lebih 600 Akaun Palsu Dikenal Pasti

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memaklumkan MCMC sedang menyiasat kegiatan akaun palsu yang menyasarkan institusi diraja.

Menurut beliau, lebih 2,000 kandungan yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) atau bersifat sangat jelik, selain 600 akaun palsu, telah dikenal pasti menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Siasatan awal mendapati kebanyakan akaun palsu terbabit dipercayai berasal dari luar negara.

Sementara itu, kerajaan turut meneliti mekanisme kawal selia lebih ketat, termasuk pengesahan identiti elektronik (eKYC) dan pengesahan umur bagi menangani buli siber menerusi platform seperti WhatsApp.

Fahmi berkata, MCMC akan diminta mengadakan perbincangan dengan Meta bagi meneliti aspek keselamatan pengguna, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *