KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana individu yang terbukti terlibat dalam kegiatan mafia korporat, tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan lengkap siasatan berhubung kegiatan berkenaan akan disiapkan dan didedahkan kepada umum dalam tempoh tiga bulan bagi memastikan ketelusan proses penguatkuasaan.
Menurut beliau, sebuah Pasukan Petugas Khas yang diketuai Peguam Negara telah ditubuhkan dengan penglibatan beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Pasukan berkenaan turut melibatkan pihak penguatkuasaan berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Anwar menegaskan bahawa laporan siasatan tersebut perlu didedahkan kepada rakyat bagi mengelakkan sebarang persepsi bahawa kerajaan cuba menyembunyikan maklumat atau melindungi pihak tertentu.
Beliau turut menyebut nama Tan Sri Azam Baki, Datuk Seri Farhash Wafa Salvado dan Victor Chin sebagai antara individu yang dibangkitkan dalam isu berkenaan, sambil menegaskan bahawa sebarang bukti perlu didedahkan tanpa pengecualian.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Selasa.














Leave a Reply