KPM teliti dakwaan syarikat kongsi alamat dalam tender makanan sekolah

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti dakwaan beberapa syarikat berkongsi alamat pendaftaran sama dalam tender Perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB) Fasa Dua Tahun 2026 bagi tempoh 2027 hingga 2029.

Ketua Setiausaha KPM, Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata, pihaknya memandang serius dakwaan kemungkinan wujud kartel atau pakatan sulit dalam proses perolehan tersebut.

Menurut beliau, KPM bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya siasatan lanjut diperlukan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan dakwaan berkenaan perlu dinilai berdasarkan fakta dan bukti sahih, bukan semata-mata persamaan alamat pendaftaran atau latar belakang perniagaan syarikat.

Sebanyak 245 tender diiklankan melibatkan 62,641 petender, dengan 242 tender dianugerahkan kepada syarikat berjaya, dua dibatalkan dan satu ditangguhkan.

Wan Hashim turut menjelaskan bahawa semua syarikat yang berjaya mempunyai pendaftaran sah dengan Kementerian Kewangan, selain dinilai berdasarkan pengalaman, pematuhan teknikal dan kemampuan melaksanakan kontrak.

Beliau berkata, perkhidmatan penyediaan makanan dilaksanakan di dapur sekolah, manakala alamat pendaftaran syarikat digunakan bagi tujuan pentadbiran.

KPM menegaskan komitmen untuk memperkukuh ketelusan dan tadbir urus perolehan bagi memastikan kualiti makanan, keselamatan serta kebajikan murid terus terpelihara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *