KUALA LUMPUR – Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir bagi mengurangkan risiko bencana serta meringankan beban rakyat yang sering terjejas akibat banjir.
Setakat ini, sebanyak enam projek tebatan banjir bernilai RM336 juta telah disiapkan, manakala 82 projek lain sedang dilaksanakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Menerusi Belanjawan 2027, kerajaan turut mengumumkan beberapa projek baharu termasuk Projek Tebatan Banjir Bandar Kuching, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2 di Kelantan dan PLSB Sungai Kemaman di Terengganu.
Selain itu, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi pembinaan kolam takungan di Lembah Klang, manakala hampir RM320 juta disediakan untuk kerja menaik taraf cerun, sistem perparitan dan saliran di kawasan pihak berkuasa tempatan.
Menurut laporan Bank Negara Malaysia, kerugian akibat banjir pada 2024 mencecah RM933.4 juta, sebelum menurun kepada RM636.9 juta pada 2025.
Pelaksanaan projek tebatan banjir itu dijangka membantu melindungi kediaman, premis perniagaan dan infrastruktur awam, selain membuka peluang pekerjaan serta merancakkan sektor pembinaan negara.
Bagaimanapun, usaha menangani risiko banjir memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat, termasuk meningkatkan kesiapsiagaan serta memperkukuh perlindungan kewangan terhadap bencana.
Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur dan pengurusan banjir yang lebih menyeluruh bagi mengurangkan kerugian ekonomi serta melindungi kesejahteraan rakyat.














Leave a Reply