JOHOR BAHRU – Johor Corporation (JCorp) menafikan dakwaan mengaitkan pihaknya dengan syarikat perladangan di Indonesia yang didakwa terlibat dalam kebakaran hutan dan tanah di negara berkenaan.
Dalam satu kenyataan, JCorp menegaskan bahawa pihaknya tidak memiliki atau mengendalikan sebarang ladang di luar Malaysia.
Menurut JCorp, anak syarikat milik penuhnya, Kulim (Malaysia) Berhad telah melupuskan kepentingan dalam beberapa syarikat perladangan di Indonesia sejak 2007.
Pelupusan itu melibatkan lima syarikat pada Ogos dan September 2007, seperti yang direkodkan dalam Laporan Tahunan JCorp 2008.
Selain itu, pada 6 Julai 2023, Kulim turut melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam dua lagi syarikat, iaitu PT Tempirai Palm Resources dan PT Rambang Agro Jaya.
JCorp menegaskan pihaknya tidak lagi mempunyai sebarang kepentingan pemilikan atau penglibatan dalam operasi syarikat terbabit.
Menurut JCorp, dakwaan berkenaan telah menimbulkan tanggapan salah terhadap organisasi itu, sekali gus menjejaskan reputasi JCorp dan Kerajaan Negeri Johor.
Terdahulu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indonesia, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI), mendakwa 21 syarikat yang mempunyai kaitan dengan entiti perniagaan Malaysia terlibat dalam kebakaran hutan dan tanah di Indonesia antara Januari hingga September 2026.
Dakwaan tersebut terkandung dalam laporan WALHI bertajuk Actor Mapping Analysis: Who Are Behind the Fires?














Leave a Reply