GUA MUSANG – Lebih 100 penduduk Orang Asli suku Temiar di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke, terputus hubungan selepas jambatan gantung yang menjadi laluan utama mereka runtuh akibat kejadian kepala air di Sungai Belatop, petang Selasa.
Kejadian yang turut membawa arus deras dan banjir lumpur itu menyebabkan penduduk berdepan kesukaran menjalankan aktiviti harian, termasuk menghantar anak ke sekolah serta mendapatkan rawatan kesihatan.
Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang berkata, hujan mula turun kira-kira jam 4 petang sebelum kejadian kepala air berlaku sekitar jam 5.30 petang, mengakibatkan jambatan berkenaan dihentam arus deras sehingga runtuh dan tiang konkritnya patah.
Menurut beliau, keadaan ketika kejadian amat mencemaskan apabila air sungai yang deras dan berlumpur turut melimpah ke jalan berhampiran kediaman penduduk.
Jambatan yang dibina pada 2008 itu merupakan laluan penting untuk penduduk menuju ke Sekolah Kebangsaan Pos Brooke dan Klinik Kesihatan Pos Brooke. Susulan kerosakan tersebut, mereka kini terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh melalui Kampung Liak dan Kuala Rengil.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu, Mohd Faedzyal Mohamed memaklumkan bahawa kira-kira 44 keluarga terjejas akibat kejadian berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan situasi tersebut kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana bagi mendapatkan bantuan kecemasan, manakala sebahagian penduduk kini berlindung di Dewan Terbuka Pejabat JAKOA Pos Brooke.
Difahamkan, isu keselamatan jambatan tersebut pernah mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 2023, dengan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan JAKOA diminta mengambil tindakan pembaikan atau penambahbaikan.













Leave a Reply