Iklan baju kurung, terima jubah: Peniaga didenda RM1,000

PUTRAJAYA – Seorang peniaga didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya selepas mengaku bersalah mengelirukan pengguna dalam urus niaga pakaian.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, kes itu berpunca daripada aduan pengguna yang menerima jubah sedangkan pakaian yang diiklankan ialah baju kurung.

Menurut beliau, kejadian pada 27 Februari 2024 itu disiasat KPDN sebelum tindakan pendakwaan diambil terhadap individu terbabit.

Peniaga berkenaan didakwa mengikut Seksyen 10(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan dijatuhi hukuman denda pada Khamis lalu. Denda tersebut telah dijelaskan pada hari sama.

Azman menegaskan KPDN memandang serius sebarang bentuk pengiklanan palsu atau mengelirukan yang boleh menjejaskan hak pengguna.

Sehubungan itu, peniaga diingatkan supaya memastikan barangan yang dibekalkan menepati maklumat dalam iklan serta mengamalkan urus niaga secara telus dan bertanggungjawab.

KPDN turut menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi melindungi kepentingan pengguna daripada amalan perdagangan yang mengelirukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *