KUALA LUMPUR – Kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, sebagai alternatif kepada Waze bagi memperkukuh keselamatan maklumat dan melindungi data pergerakan pengguna.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, aplikasi yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) itu dicadangkan susulan kebimbangan terhadap risiko keselamatan data pengguna Waze yang menurut beliau tertakluk kepada undang-undang kerajaan Israel.
Menurut Anwar, perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3/2026 yang dipengerusikannya pada Selasa bagi meneliti ancaman siber serta memperkukuh kesiapsiagaan dan kedaulatan digital negara.
Mesyuarat itu turut memberi perhatian kepada pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID serta persediaan menghadapi ancaman teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI) autonomi dan komputer kuantum.
Dalam masa sama, kerajaan akan terus memperkukuh perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) serta meningkatkan keselamatan sistem identiti digital melalui penggunaan MyKad dan MyDigital ID.
Anwar menegaskan bahawa keselamatan data dan identiti rakyat tidak boleh dikompromi, justeru langkah perlindungan siber perlu dipertingkatkan seiring perkembangan teknologi.
Beliau berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan transformasi digital perkhidmatan awam terus memberi manfaat kepada rakyat tanpa menjejaskan keselamatan, kepercayaan dan kedaulatan negara.












Leave a Reply