SUNGAI BULOH – Bekerja di Kuala Lumpur atau di negeri lain, adakah graduan yang mempunyai kelayakan dan kemahiran sama wajar menerima gaji berbeza hanya disebabkan lokasi pekerjaan?
Persoalan itu menjadi antara asas penekanan kerajaan dalam menyediakan garis panduan gaji pokok permulaan RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerja separa mahir, yang akan dilaksanakan tanpa mengira wilayah atau lokaliti.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pendekatan tersebut bertujuan memastikan pekerja menerima layanan yang adil berdasarkan kelayakan, kemahiran dan keupayaan masing-masing.
Menurut beliau, perbezaan lokasi pekerjaan tidak seharusnya menjadi satu-satunya faktor yang menentukan kadar gaji bagi individu yang menjalankan tugas sama dengan kelayakan setara.
Sebagai contoh, Ramanan membangkitkan situasi graduan berkelulusan diploma atau ijazah yang bekerja sebagai pengurus kewangan di Kuala Lumpur berbanding mereka yang menjalankan tugas sama di Perlis atau Terengganu.
Beliau menegaskan bahawa usaha, kelayakan dan kemahiran seseorang pekerja perlu diberikan pertimbangan yang adil tanpa mengira tempat mereka bekerja.
Ramanan berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program MADANI Kita di Sungai Buloh pada Sabtu.
Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan bahawa garis panduan gaji pokok permulaan RM2,500 sedang disediakan bagi memberikan rujukan lebih jelas kepada majikan dan pekerja.
Garis panduan berkenaan masih dalam proses penyediaan dan tidak bermaksud semua graduan secara automatik sudah diwajibkan menerima gaji RM2,500.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut merancang memperluas peluang latihan industri bagi graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi kerjasama dengan Singapura dan Thailand.
Menurut Ramanan, pelajar institusi latihan di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) bakal berpeluang mengikuti latihan di kedua-dua negara berkenaan, selain membuka ruang kepada pelajar dari institusi terbabit menjalani latihan di Malaysia.
Kerjasama itu turut melibatkan Institute of Technical Education (ITE) di Singapura dan akan disusun berdasarkan keperluan sebenar industri.
Beliau menjelaskan bahawa peserta akan diberikan latihan bersesuaian dengan kemahiran yang diperlukan majikan, dengan peluang ditawarkan pekerjaan tetap serta gaji setimpal selepas tamat latihan.
Langkah tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kebolehpasaran graduan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta menyediakan panduan gaji yang lebih adil berdasarkan kelayakan dan jenis pekerjaan.














Leave a Reply