DUNGUN – Hasil tanaman yang diusahakan selama ini musnah akibat pencerobohan seekor gajah liar, menyebabkan pekebun di Kampung Tepus, Dungun, menanggung kerugian lebih RM100,000 sejak tahun lalu.
Lebih membimbangkan, haiwan liar berkenaan dilaporkan menceroboh kawasan kebun lebih 10 kali sepanjang tahun ini, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan pekebun dan penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tepus, Mat Zaid Abdulah, 56, berkata kemusnahan itu melibatkan tanaman kelapa sawit, pisang dan kelapa di kawasan kebun seluas lebih 12 hektar, termasuk tanaman yang sudah mengeluarkan hasil.
Menurut beliau, kejadian berulang menyebabkan sebahagian pekebun semakin hilang semangat untuk meneruskan kegiatan pertanian kerana tidak sanggup menanggung kerugian yang sama.
Kejadian terbaharu berlaku pada Rabu lalu, apabila gajah berkenaan memasuki dan memusnahkan kebun pisang yang diusahakan dua pekebun.
Namun, kerugian tanaman bukan satu-satunya perkara yang membimbangkan penduduk.
Kehadiran gajah liar berhampiran kawasan kediaman turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka, terutama pada waktu malam.
Seorang penduduk, Ahmad Nazri Mat Hasam, 58, berkata suasana kampung kini semakin sunyi apabila penduduk tidak berani keluar rumah kerana bimbang terserempak dengan haiwan tersebut.
Gajah berkenaan dipercayai masih berkeliaran di kawasan berhampiran kampung, sekali gus menimbulkan risiko terhadap keselamatan penduduk.
Susulan kejadian itu, masalah pencerobohan gajah liar telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Mat Zaid berharap tindakan segera dapat diambil bagi mengelakkan lebih banyak tanaman musnah dan kerugian pekebun terus meningkat.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dennis Ten Choon Yung, memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan susulan bagi menangani pencerobohan haiwan berkenaan.
Langkah itu bertujuan mengurangkan risiko kerugian lebih besar kepada pekebun, selain memastikan keselamatan penduduk Kampung Tepus terus terpelihara.












Leave a Reply