KUANTAN, 27 Oktober – Allahyarham Dr Siti Hawa Apandi dilaporkan mengadu letih dan lebih banyak mahu berbaring sejak dua hingga tiga hari sebelum meninggal dunia di kediaman keluarganya di Kuantan.
Ibunya, Zaidah Tamjis, 64, berkata perubahan itu berbeza daripada kebiasaan anaknya yang mampu duduk lama sambil menggunakan komputer riba.
Menurut Zaidah, anaknya kali terakhir minum susu sekitar jam 6 petang Isnin sebelum meminta untuk berbaring. Kira-kira jam 5.30 pagi Selasa, beliau cuba mengejutkan Siti Hawa, namun anaknya tidak memberikan sebarang respons. Pasukan perubatan yang tiba selepas ambulans dihubungi mengesahkan pemergiannya.
Allahyarham dikenang sebagai seorang yang tekun, penyabar dan tidak banyak bercakap. Beliau turut meninggalkan pencapaian akademik yang membanggakan selepas menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada 2025.
Lebih istimewa, Allahyarham diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai pesakit atrofi otot spina (SMA) pertama di Malaysia yang menamatkan pengajian dari peringkat diploma hingga PhD di universiti yang sama.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Seri Mahkota Aman sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8 pada jam 11.30 pagi Selasa.














Leave a Reply