SEPANG – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menyerahkan sepenuhnya kepada proses perundangan berhubung pertuduhan mencederakan dua anggota polis yang dihadapinya di Mahkamah Majistret Sepang, Rabu.
Mohd Shuhaily berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 28 September lalu.
Ketika ditemui pemberita sebelum prosiding bermula, beliau menegaskan akan menghormati proses mahkamah dan tidak berhasrat mengulas lanjut mengenai pertuduhan tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang memberikan sokongan, doa dan kata-kata semangat sepanjang berdepan proses perundangan berkenaan.
Menurutnya, sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat menjadi sumber kekuatan dan keyakinan untuk meneruskan proses mahkamah yang sedang dihadapinya.
Dalam masa sama, Mohd Shuhaily memaklumkan bahawa sidang media tersebut merupakan kenyataan terakhirnya berhubung kes berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa sebarang kenyataan lanjut selepas prosiding mahkamah akan disampaikan menerusi peguam yang mewakilinya.













Leave a Reply