GEORGE TOWN – Usaha meningkatkan pendapatan rakyat melalui pekerjaan berkualiti dan pembangunan industri bernilai tinggi menjadi antara keutamaan yang mahu diperkukuh kerajaan menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pertumbuhan ekonomi negara perlu diterjemahkan kepada manfaat yang lebih bermakna kepada rakyat, khususnya melalui peningkatan gaji dan peluang pekerjaan yang menawarkan pendapatan lebih baik.
Menurut beliau, peningkatan produktiviti serta kedudukan Malaysia yang semakin kukuh dalam rantaian bekalan global seharusnya memberi pulangan secara langsung kepada tenaga kerja tempatan.
Antara pendekatan yang diberi perhatian kerajaan ialah memperkukuh keupayaan syarikat tempatan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).
Pembangunan sektor berkenaan penting bagi membantu syarikat meningkatkan produktiviti, membangunkan teknologi baharu serta mewujudkan pekerjaan yang memerlukan kemahiran lebih tinggi.
Dalam jangka panjang, usaha ini berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan ganjaran yang lebih kompetitif, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.
Akmal menegaskan bahawa agenda peningkatan gaji tidak boleh dilaksanakan secara berasingan daripada usaha memperkukuh keupayaan industri dan syarikat tempatan.
Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM25 juta di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi pembangunan Kampus Automation, Testing and Equipment (ATE) di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Pembangunan kemudahan itu bertujuan memperkukuh ekosistem industri semikonduktor serta meningkatkan keupayaan syarikat tempatan dalam bidang automasi, pengujian dan peralatan teknologi.
Inisiatif ini juga menyokong usaha mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti dan menawarkan potensi pendapatan lebih tinggi, khususnya dalam industri teknologi yang berkembang pesat.
Akmal berkata, perbincangan mengenai pendapatan dan gaji rakyat perlu diberikan kedudukan lebih utama dalam perancangan ekonomi negara.
Tumpuan itu turut selaras dengan Kenyataan Prabelanjawan 2027 oleh Kementerian Kewangan yang menggariskan usaha meningkatkan pendapatan, membuka peluang pekerjaan berkualiti dan meringankan beban kos sara hidup sebagai antara keutamaan kerajaan.
Agenda tersebut turut merangkumi pembangunan bakat berkemahiran tinggi, peningkatan produktiviti dan pengukuhan sektor ekonomi bernilai tinggi.
Langkah ini mencerminkan pendekatan kerajaan untuk memastikan pembangunan ekonomi bukan sahaja meningkatkan daya saing negara, malah membuka ruang kepada rakyat memperoleh pendapatan yang lebih mampan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program KL20@Penang 2026: Silicon Surge di Pusat Konvensyen Penang Waterfront pada 24 September lalu.
Menjelang pembentangan Belanjawan 2027, perhatian kini tertumpu kepada langkah tambahan yang bakal diumumkan kerajaan bagi memperkukuh kedudukan gaji dan peluang pekerjaan rakyat Malaysia.
Walaupun butiran peruntukan baharu masih menunggu pengumuman rasmi, pembangunan industri bernilai tinggi dan peningkatan kemahiran pekerja terus menjadi antara pendekatan penting dalam usaha memperkukuh pendapatan rakyat.
Sumber : BERNAMA/ASTRO AWANI












Leave a Reply