Bantuan M40, peruntukan sekolah dan Kampung Angkat MADANI jadi tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Isu bantuan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40), peruntukan program Sekolah dan Kampung Angkat MADANI serta keberkesanan inisiatif pelancongan antara perkara yang dijadualkan menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen, Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) meminta Kementerian Kewangan menjelaskan langkah membantu isi rumah M40 yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup meskipun tidak lagi layak menerima bantuan bersasar.

Beliau turut membangkitkan keperluan menilai semula kelayakan bantuan berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan semasa isi rumah.

Sementara itu, Datuk Dr Richard Rapu @ Aman anak Begri (GPS-Betong) meminta penjelasan mengenai pecahan peruntukan RM50 juta dan RM200 juta bagi program Sekolah dan Kampung Angkat MADANI, termasuk ketelusan perbelanjaan serta jumlah sebenar penerima manfaat.

Persidangan turut dijadualkan membincangkan keberkesanan Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP) dalam menangani aduan harga keterlaluan, selain perkembangan pelaksanaan Dasar Wanita Negara 2025–2030.

Isu keselamatan kanak-kanak dan remaja di platform permainan dalam talian turut mendapat perhatian menerusi pertanyaan mengenai kemungkinan peluasan had umur penggunaan media sosial.

Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat dijadualkan meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada peringkat dasar sehingga 22 Oktober, sebelum sesi penggulungan kementerian bermula 26 Oktober.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *