KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Kerajaan mempertahankan keputusan menyediakan peruntukan pembangunan lebih besar untuk Sabah dan Sarawak berdasarkan keperluan geografi serta infrastruktur di kedua-dua negeri berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan itu termasuk keadaan jalan raya yang masih teruk di beberapa kawasan di Sabah, meskipun jumlah penduduknya lebih kecil berbanding negeri lain.
Ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Dewan Rakyat, Anwar menegaskan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilihat sebagai tanggungjawab nasional demi menjaga kepentingan semua pihak.
Beliau turut menjelaskan bahawa peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 tidak merangkumi perbelanjaan projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen berkenaan.
Anwar mengakui peruntukan pembangunan sedia ada tidak mampu memenuhi semua keperluan. Namun, beliau menegaskan kepentingan tadbir urus yang baik bagi mengelakkan ketirisan, selain memastikan proses perolehan dan pemberian kontrak mematuhi peraturan serta mengambil kira keupayaan pelaksanaan projek.












Leave a Reply