AKPS tahan suami isteri cuba bawa wang tunai hampir RM3 juta ke Singapura

JOHOR BAHRU, 28 Oktober – Sepasang suami isteri warga Malaysia ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) selepas disyaki cuba membawa keluar wang tunai bernilai hampir RM3 juta ke Singapura tanpa membuat pengisytiharan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Datuk Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata, pasangan berusia 41 dan 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.40 pagi pada 27 Oktober di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Pasangan tersebut ditahan ketika melalui zon pemeriksaan kenderaan menuju ke Woodlands, Singapura dengan menaiki sebuah Toyota Alphard berwarna putih.

Hasil pemeriksaan tiga pegawai AKPS menemukan wang tunai berjumlah RM1,971,697 dan SGD300,000, bersamaan kira-kira RM2.93 juta keseluruhannya.

Wang berkenaan ditemukan di dalam tiga kotak, satu beg kertas dan sebuah beg galas hitam yang diletakkan di ruang penumpang belakang kenderaan.

Menurut Mohd Nasaruddin, pemeriksaan lanjut dilakukan selepas pemandu menunjukkan tingkah laku mencurigakan ketika disoal oleh pegawai bertugas.

Pasangan ahli perniagaan dari Johor itu dipercayai dalam perjalanan ke Singapura untuk melancong. Bagaimanapun, tujuan sebenar membawa wang tunai berkenaan serta kegagalan membuat pengisytiharan masih dalam siasatan.

Kedua-dua individu dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman, manakala kenderaan mereka turut disita sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

AKPS mengingatkan bahawa individu yang membawa wang tunai bernilai AS$10,000 atau lebih merentasi sempadan negara wajib membuat pengisytiharan kepada pihak kastam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *