Bukan Sekadar Segulung Ijazah, Ini Hadiah Buat Keluarga- Ainun Syuhada

Di sebalik senyuman seorang graduan yang melangkah naik ke pentas konvokesyen, tersimpan kisah perjuangan, pengorbanan dan doa yang tidak pernah putus.

Bagi Ainun Syuhada binti Azlan Shah, kejayaan menggenggam segulung ijazah bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi simbol segala usaha dan penat lelah yang akhirnya membuahkan hasil.

Beliau berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif dengan Kepujian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mengimbas perjalanan sepanjang pengajian, Ainun menyifatkan kejayaan itu sebagai sesuatu yang amat bermakna, selepas melalui pelbagai cabaran dan mengerah tenaga demi memastikan impiannya menjadi kenyataan.

Baginya, kejayaan tersebut bukan untuk dirinya semata-mata, sebaliknya menjadi hadiah paling bermakna buat keluarga yang sentiasa memberikan sokongan, serta rakan-rakan sekerja yang turut menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya.

“Saya berhempas pulas, mengorbankan tenaga dan melalui pelbagai cabaran untuk sampai ke tahap ini. Segala usaha yang saya lakukan adalah untuk membalas jasa keluarga saya, serta rakan-rakan sekerja yang sentiasa menyokong saya.

Saya sangat terharu dengan pencapaian ini. Semoga selepas ini, saya dapat menggunakan apa yang saya pelajari untuk membantu lebih ramai orang di luar sana.”

Bagi Ainun, hari konvokesyen ini bukan noktah kepada perjalanan, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar.

Kerana baginya, kejayaan yang paling bermakna bukan hanya apabila kita berjaya mencapai impian sendiri, tetapi apabila kita mampu menjadi sebab orang lain turut merasai harapan dan perubahan.

Tahniah Ainun Syuhada! Semoga perjalanan selepas ini terus membuka ruang untuk lebih banyak kejayaan dan kebaikan. 🎓

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *