KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,581 kes penderaan kanak-kanak melibatkan penderaan fizikal, seksual dan emosi direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang enam bulan pertama tahun 2026.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan, sebanyak 1,522 kes dicatatkan pada suku pertama tahun ini, sebelum meningkat kepada 2,059 kes bagi tempoh April hingga Jun.
Menurut kementerian itu, kes pengabaian dan kecuaian terhadap kanak-kanak turut menunjukkan peningkatan, dengan 987 kes direkodkan pada suku pertama dan 1,292 kes pada suku kedua.
Jumlah keseluruhan kes pengabaian dan kecuaian bagi separuh pertama tahun ini mencecah 2,279 kes.
KPWKM turut memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka 867 kertas siasatan berkaitan penderaan kanak-kanak setakat Jun 2026, dengan 267 kes daripadanya telah dibawa ke mahkamah.
Penjelasan tersebut diberikan menerusi jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, berhubung statistik penderaan dan pengabaian kanak-kanak.
Dalam usaha memperkukuh perlindungan kanak-kanak, JKM terus melaksanakan tindakan penyelamatan, menyediakan penempatan selamat serta bantuan pemulihan kepada mangsa berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001.
Selain itu, sebanyak 220 Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak telah dilaksanakan di sekolah sepanjang Januari hingga September 2026, melibatkan 57,012 peserta termasuk murid, ibu bapa dan guru.
KPWKM menyeru masyarakat supaya segera melaporkan sebarang kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak menerusi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-2615999, yang beroperasi 24 jam.














Leave a Reply