UNHCR Perlu Dinilai Dalam Tempoh Enam Bulan, Jika Gagal Wajar Ditutup – Pakar

SHAH ALAM – Kerajaan disaran mempercepat kajian terhadap peranan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia dan membuat keputusan dalam tempoh enam bulan sekiranya badan itu didapati gagal melaksanakan tanggungjawabnya.

Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Salawati Mat Basir berkata, proses penempatan semula pelarian ke negara ketiga ketika ini dilihat terlalu perlahan sehingga menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan peranan UNHCR.

(Photo by CHAIDEER MAHYUDDIN / AFP)

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan isu pelarian terus berlarutan di Malaysia, termasuk membabitkan individu yang telah menetap di negara ini selama berpuluh-puluh tahun tanpa penyelesaian jangka panjang.

Beliau turut merujuk kepada kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini yang memaklumkan bahawa hanya sekitar 5,000 pelarian berjaya ditempatkan semula ke negara ketiga dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.

Salawati berpandangan, kerajaan perlu menilai semula keberkesanan badan berkenaan dengan segera dan tidak membiarkan proses kajian berlarutan terlalu lama.

Beliau juga membangkitkan persoalan mengenai tanggungjawab UNHCR terhadap individu yang diberikan kad pelarian, sedangkan proses penempatan semula mereka masih belum mempunyai penyelesaian yang jelas.

Selain itu, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap sistem permohonan dalam talian yang didakwa membolehkan individu memohon status pelarian sebelum memasuki Malaysia.

Justeru, beliau menggesa kerajaan memperkukuh dasar pengurusan pelarian serta memperjelas tanggungjawab setiap pihak bagi mengelakkan isu berkenaan terus berpanjangan.

Laporan itu turut menekankan cabaran yang dihadapi Malaysia apabila negara ketiga semakin mengehadkan penerimaan pelarian, sekali gus menyukarkan usaha mencari penempatan baharu bagi mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *