Terima rasuah RM69,600, bekas Ketua Polis Temerloh dihukum penjara lapan bulan

KUANTAN – Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu selepas didapati bersalah atas 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,600 antara 2019 hingga 2023.

Hakim Sazlina Safie menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Azhar Mohd Yusoff, 56, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan semua hukuman berjalan serentak.

Menurut hakim, pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi kesemua 46 pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Azhar didakwa menerima wang antara RM100 hingga RM5,600 daripada empat individu melalui transaksi pemindahan wang dalam talian sebagai dorongan untuk melindungi mereka daripada tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tertuduh yang didakwa pada 7 September 2023 sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan. Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan keterangan daripada 20 saksi.

Dalam prosiding tersebut, peguam bela memohon supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman denda tanpa pemenjaraan, manakala pihak pendakwaan memohon hukuman lebih berat dengan mengambil kira keseriusan kesalahan berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mohd Azhar turut dikenakan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga prosiding selanjutnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *