KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 20 Januari 2027 bagi mendengar rayuan bekas pengurus kanan Lembaga Tabung Haji (TH) terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM852,385 atas kesalahan menerima suapan berjumlah RM170,477.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan tarikh tersebut ketika pengurusan kes membabitkan Zaharuddin Hamid, 53, yang merupakan bekas Pengurus Kanan Teknikal di Seksyen Pembangunan Hartanah TH.
Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada 8 Januari 2027 sebelum pendengaran rayuan berlangsung.
Mengikut pertuduhan, Zaharuddin didakwa menerima suapan menerusi cek yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik kakaknya sebagai ganjaran mencadangkan dua syarikat bagi melaksanakan kerja pengubahsuaian pejabat TH di Perak dan Johor.
Kesalahan itu dilakukan antara Oktober 2015 hingga Mei 2018 dan melibatkan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Pada 30 November 2023, Mahkamah Sesyen mendapati Zaharuddin bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan sebelum menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM852,385, selain penjara 15 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman penjara dan denda tersebut ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan yang difailkan pada November 2023.














Leave a Reply