Peruntukan pembangunan tetap disalur tanpa mengira parti politik – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan peruntukan pembangunan untuk rakyat terus disalurkan ke semua kawasan Parlimen tanpa mengira parti politik yang diwakili Ahli Parlimen berkenaan.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI menggunakan pendekatan sama dalam pengagihan peruntukan termasuk bagi membaik pulih sekolah daif, sekolah agama, jalan kecil dan masjid.

Menurut Anwar, isu yang dibangkitkan bukan berkaitan ketiadaan peruntukan pembangunan, sebaliknya kaedah penyaluran dana secara langsung kepada Ahli Parlimen.

Katanya, peruntukan pembangunan tidak disalurkan terus kepada Ahli Parlimen, termasuk wakil rakyat kerajaan, sebaliknya pelaksanaan projek diuruskan melalui kerajaan negeri dan kementerian berkaitan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebagai contoh, Anwar memaklumkan peruntukan Persekutuan bagi Terengganu meningkat daripada RM6 bilion di bawah pentadbiran terdahulu kepada RM8.2 bilion pada 2027.

Sementara itu, sebanyak RM123 juta diluluskan bagi 197 projek dan projek kecil di Besut, melibatkan sektor infrastruktur, kesihatan, perumahan, pertanian, pendidikan dan tebatan banjir.

Anwar menegaskan kerajaan terbuka mempertimbangkan keperluan pembangunan tambahan berdasarkan kepentingan rakyat setempat, keutamaan projek serta kemampuan kewangan semasa negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *