Pengguna TuJu melonjak kepada 800,000, LLM giat tingkat kestabilan sistem

KUALA LUMPUR – Peningkatan mendadak pengguna aplikasi navigasi tempatan, TuJu daripada 200,000 kepada 800,000 dalam tempoh singkat menyebabkan sistem aplikasi itu berdepan cabaran dari segi kapasiti dan kestabilan.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir Mohd Hadzmir Yusoff berkata, peningkatan empat kali ganda itu memberi tekanan kepada kapasiti penyimpanan serta pemprosesan data sedia ada.

Menurutnya, LLM bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB), sedang giat melaksanakan kerja pemulihan dan penambahbaikan bagi memastikan fungsi navigasi kembali beroperasi dengan lancar.

Beliau menjelaskan, gangguan yang berlaku hanya melibatkan fungsi navigasi, manakala fungsi lain masih boleh digunakan seperti biasa.

Antara penambahbaikan yang diberi perhatian termasuk meningkatkan ketepatan maklumat laluan, memperkukuh pemantauan prestasi serta mengurangkan risiko gangguan berulang.

Usaha tersebut turut melibatkan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan GovTech Malaysia bagi memperkukuh keselamatan data pengguna.

Terdahulu, kerajaan melarang penggunaan Waze bagi urusan rasmi penjawat awam berkuat kuasa 20 Oktober atas faktor keselamatan data. Bagaimanapun, penjawat awam masih boleh menggunakan aplikasi navigasi lain termasuk Google Maps.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *