PORT DICKSON – Seorang pelajar kolej berusia 21 tahun ditemukan maut di belakang sebuah kedai makan di sini pada Rabu, dipercayai akibat terjatuh dari tempat tinggi.
Mangsa merupakan pelajar tahun akhir sebuah kolej yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah hotel di Lukut.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam menerusi talian MERS 999 sebelum mangsa ditemukan pada pukul 6.05 pagi.
Menurut beliau, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan pada bahagian kepala dan abdomen yang berpunca daripada terjatuh dari tempat tinggi.
Pemeriksaan awal pihak polis juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.
Siasatan mendapati mangsa dipercayai menetap di sebuah bilik sewa dalam bangunan tiga tingkat yang dijadikan asrama, berhampiran lokasi mayatnya ditemukan.
Pemeriksaan lanjut di tempat tinggal mangsa tidak menemukan sebarang kesan geledah, kehilangan barang berharga mahupun dokumen peribadi.
Mayat pelajar berkenaan telah dibawa ke Hospital Port Dickson bagi tindakan lanjut, manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.












Leave a Reply