MyLesen B2: 25,464 peserta tamat latihan, berjaya peroleh lesen percubaan

KUALA LUMPUR – Seramai 25,464 peserta Program MyLesen B2 berjaya menamatkan latihan dan memperoleh Lesen Memandu Percubaan (PDL) B2, mewakili kira-kira 85 peratus daripada kuota program bagi tahun 2026.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, kerajaan menyediakan 30,000 kuota dengan peruntukan RM11.186 juta bagi membantu golongan sasaran mendapatkan lesen motosikal.

Menurut kementerian itu, seramai 30,660 individu menerima tawaran menyertai program berkenaan, manakala 28,785 peserta telah mendaftar di institut memandu.

Pelaksanaan program di 11 negeri telah mencapai 100 peratus, sementara peserta di negeri lain masih melengkapkan latihan dan ujian sebelum program berakhir pada 31 Oktober 2026.

Bagi Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S), sebanyak 50,642 pelajar daripada keluarga B40, termasuk murid berkeperluan pendidikan khas, ditawarkan penyertaan.

Daripada jumlah tersebut, 30,648 pelajar memperoleh Lesen Belajar Memandu (LDL), manakala 7,157 pelajar berjaya mendapatkan lesen percubaan B2.

MOT menjelaskan kerajaan menanggung kos kursus, latihan, ujian pertama serta sehingga dua kali ujian ulangan. Proses mendapatkan lesen percubaan lazimnya mengambil masa antara tiga hingga lima bulan.

Bagaimanapun, semua peserta tetap perlu memenuhi syarat penilaian dan keselamatan tanpa sebarang kelonggaran.

Program ini bertujuan membantu golongan muda dan B40 memperoleh lesen motosikal secara sah, di samping meningkatkan pengetahuan serta kemahiran keselamatan jalan raya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *