KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan perkembangan positif apabila menduduki tangga ke-53 daripada 143 negara dalam Indeks Kedaulatan Undang-Undang 2026 yang diterbitkan oleh World Justice Project (WJP).
Menurut laporan yang dikeluarkan pada Rabu, Malaysia turut berada di kedudukan ketujuh daripada 15 negara di rantau Asia Timur dan Pasifik, sekali gus tergolong dalam kalangan negara yang menunjukkan peningkatan ketika prestasi kedaulatan undang-undang global semakin merosot.
Skor keseluruhan Malaysia meningkat kurang daripada satu peratus kepada 0.57, manakala sebanyak 62 peratus negara yang dinilai mencatatkan penurunan prestasi dalam aspek kedaulatan undang-undang.
Dalam kategori negara berpendapatan sederhana tinggi, Malaysia berada di kedudukan keenam daripada 44 negara yang dinilai.
Dari segi pencapaian mengikut faktor, Malaysia merekodkan prestasi terbaik dalam aspek keadilan sivil apabila menduduki tangga ke-37 dunia, diikuti keadilan jenayah di kedudukan ke-44 dan penguatkuasaan peraturan di tangga ke-46.
Negara turut berada di kedudukan ke-51 bagi aspek ketenteraman dan keselamatan, ke-54 dalam ketiadaan rasuah serta ke-56 bagi kekangan terhadap kuasa kerajaan.
Bagaimanapun, Malaysia masih berdepan cabaran dalam aspek hak asasi apabila berada di tangga ke-77, manakala keterbukaan kerajaan mencatatkan kedudukan lebih rendah iaitu ke-104 dunia.
Laporan WJP turut menunjukkan Malaysia tidak mengalami kemerosotan dalam beberapa petunjuk penting berkaitan kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan berpersatuan serta penyertaan masyarakat sivil.
Pencapaian itu dilihat berbeza daripada trend global apabila sebahagian besar negara mencatatkan kemerosotan dalam kebebasan asas dan mekanisme semak imbang terhadap kuasa kerajaan.
Di peringkat serantau, New Zealand muncul sebagai negara terbaik dengan menduduki tangga ketujuh dunia, diikuti Australia dan Singapura.
Sementara itu, Denmark mendahului kedudukan global, disusuli Norway, Finland, Sweden dan Luxembourg.
Indeks WJP 2026 menilai tahap kedaulatan undang-undang di 143 negara dan bidang kuasa yang merangkumi kira-kira 95 peratus penduduk dunia, berdasarkan penilaian pakar serta tinjauan isi rumah.












Leave a Reply