BATU KAWAN – Majoriti aset motosikal milik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di seluruh negara dilaporkan semakin usang dan perlu diganti bagi memastikan kelancaran operasi penguatkuasaan.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, terdapat motosikal yang telah digunakan lebih 30 tahun, manakala kebanyakan aset lain diperoleh sebelum atau sekitar 2008.
Menurut beliau, keadaan itu menyukarkan kerja penyelenggaraan, khususnya apabila alat ganti semakin sukar diperoleh.
Sehubungan itu, JSPT bersama Jabatan Logistik dan Teknologi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang merangka cadangan kepada kerajaan untuk melupuskan aset lama dan mendapatkan motosikal yang lebih sesuai.
Antara kaedah yang dipertimbangkan termasuk sewaan, pajakan atau sewa beli bagi tempoh tiga hingga lima tahun berbanding pembelian secara terus.
Dalam perkembangan sama, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd menyerahkan enam motosikal kepada JSPT untuk menjalani ujian selama tiga bulan menerusi Program Proof of Concept (PoC).
Motosikal berkenaan akan dinilai dari aspek ketahanan, keselesaan dan penggunaan bahan api sebelum kesesuaiannya untuk operasi pasukan ditentukan.
Langkah tersebut diharap dapat memperkukuh kecekapan JSPT dalam menjalankan tugas serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terpelihara.












Leave a Reply